Sweet Followers


Cik Qaseh Visitors

AmazingCounters.com

30 May 2014

(PRA 3107) Kesan Aktiviti Permainan Terhadap Perkembangan Sosioemosi Kanak-kanak dalam Pendidikan Prasekolah


          Pendidikan prasekolah adalah pendidikan asas yang penting kepada semua manusia di dunia ini. Melalui pendidikan prasekolah juga kanak-kanak belajar cara mengawal emosi mereka serta pergaulan sosial dengan rakan-rakan sepermainan  mereka. Oleh itu, melalui perkembangan emosi, tingkah laku kanak-kanak dibentuk sama ada yang positif ataupun negatif. Bagi membantu perkembangan sosioemosi kanak-kanak ini, salah satu cara adalah dengan permainan. Bermain adalah kegiatan yang dilakukan atas dasar suatu kesenangan dan tanpa mempertimbangkan hasil akhir sesuatu perkara. Namun, bagi seorang kanak-kanak ia adalah berkaitan dengan peristiwa situasi, reaksi dan aksi (Tadkiroatun Musfiroh, Pintar Cerdas melalui Bermain). Melalui bermain ini, kanak-kanak memperoleh berbagai kemampuan seperti kemampuan berkomunikasi, kemampuan berbahasa, kemampuan bersosial, kemampuan pengurusan emosi dan kemampuan berfikir secara logik-matematik.

Pelbagai respon yang kami lihat semasa aktiviti permainan dijalankan. Kanak-kanak mula rasa gembira semasa melakukan aktiviti permainan. Selaras dengan objektif permainan ini iaitu mewujudkan kerjasama antara murid, permainan ini memerlukan kerjasama antara murid dengan rakan-rakan mereka. Dengan ini, secara tidak langsung mereka mempelajari tingkah laku bersosial seperti saling membantu, berkongsi dan bekerjasama. Dalam permainan ini yang disebut “bola berduri”, kanak-kanak perlu membawa bola dan dimasukkan ke dalam gelung tanpa memegang bola tersebut. Untuk membawa bola tersebut, kanak-kanak perlu menggunakan kain yang disediakan dan meletakkan bola di atasnya. Bola akan dibawa oleh kanak-kanak secara berpasangan dan menghantar kepada pasangan kanak-kanak yang lain. Oleh itu, kanak-kanak perlu bekerjasama untuk memastikan bola yang dibawa tidak jatuh ke tanah.

            Semasa bermain juga, murid-murid prasekolah dapat menyatakan perasaan dan emosi mereka sama ada gembira, sedih, marah, takut dan sebagainya. Menurut Piaget mahupun Vygotsky dalam Pintar Cerdas melalui Bermain (Tadkiroatun Musfiroh), bermain berkait rapat dengan representasi ataupun gambaran iaitu bagaimana kanak-kanak menggambarkan dunia dan mengekspresikan perasaan dan keperluan mereka. Daripada aktiviti ini, kami dapat melihat pelbagai gelagat dan ekspresi yang mereka tunjukkan. Antaranya adalah perasaan gembira ketika bermain. Hal ini kerana, bermain adalah lumrah bagi kehidupan seseorang kanak-kanak. Selain itu, kami juga dapat melihat perasaan takut dan bimbang melalui ekspresi kanak-kanak. Perasaan takut dan bimbang ini adalah disebabkan sikap berhati-hati mereka untuk memastikan bola yang mereka bawa tidak jatuh. Sekiranya bola jatuh, mereka terpaksa mengulang semula permainan daripada awal. Barnett (dalam Brewer, 1995) melalui buku Pintar Cerdas melalui Bermain membuktikan bahawa kanak-kanak yang ketakutan akan berasa kurang takut setelah mereka mengekspresikan ketakutan mereka ke dalam aktiviti bermain. Justeru, melalui permainan, kanak-kanak belajar untuk menerima, mengekspresi dan menguasai perasaan mereka secara positif dan konstruktif. Hal ini seterusnya memberikan kanak-kanak kebolehan untuk mengenal emosi mereka sendiri. Kemahiran mengenal emosi sendiri ini membolehkan membolehkan mereka mengetahui jenis-jenis perasaan dalaman yang wujud dalam diri mereka dan seterusnya mampu mengenal apakah situasi dan bagaimana sesuatu emosi itu boleh berubah dalam diri mereka. Di samping itu, kanak-kanak juga mampu melabelkan emosi dengan membuat pengelasan tertentu dengan membuat beberapa kesimpulan berdasarkan keadaan dan situasi serta jenis-jenis emosi yang terpancar dalam keadaan tersebut. Misalnya, dalam bermain permainan ini, antara jenis emosi yang jelas ditunjukkan adalah gembira.

Di samping itu, mereka juga belajar untuk menerima diri mereka dan bermotivasi untuk mengembangkan jati diri mereka. Amstrong (1993) juga dalam buku Pintar Cerdas melalui Bermain menyatakan bahawa bermain mampu membuatkan kanak-kanak menghargai diri sendiri dan memiliki ruang untu beriadah. Kanak-kanak mempelajari diri mereka sendiri sebagai individu yang terpisah dan mempunyai pemikiran dan perasaan yang bereza dan pelbagai. Pemikiran dan perasaan ini seterusnya direalisasikan melalui pengalaman bermain. Dengan itu, ia mendorong kanak-kanak prasekolah ini untuk memahami dan menerima emosi mereka sendiri dan seterusnya membantu perkembangan diri yang lebih baik, meningkatkan hubungan serta kemampuan mereka untuk menghadapi tekanan dan perubahan.

            Permainan ini juga memberikan peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu, secara tidak langsung ia mewujudkan kerjasama antara murid-murid tersebut. Interaksi dengan rakan membolehkan kanak-kanak memperoleh semangat bersaing serta kemahiran penyesuaian dengan orang lain. Dari segi perkembangan sosioemosi, melalui permainan yang diadakan ini, murid-murid prasekolah dapat belajar cara mengadakan perhubungan sosial bersama rakan khususnya rakan dalam kumpulan. Contohnya dalam permainan ini, kanak-kanak belajar untuk berkomunikasi dengan rakan mereka untuk memastikan bola yang dibawa tidak jatuh. Di samping itu, mereka juga perlu memahami apa yang cuba disampaikan oleh rakan. Interaksi juga membantu kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif. Kanak-kanak yang kami lihat sebelum ini sebagai kanak-kanak yang pasif seperti Shafiqa dan Elfira turut melibatkan diri dalam permainan. Walaupun tidak terlalu aktif seperti rakan-rakan mereka yang lain, namun mereka diberi peluang.

            Selain itu, kanak-kanak juga belajar tentang cara menyelesaikan masalah apabila berlaku. Kanak-kanak yang bermain mesti berfikir tentang bagaimana mengorganisasikan sesuai dengan tujuan mereka bermain. Hal ini seterusnya dapat membantu menyediakan kerangka kepada kanak-kanak untuk mengembangkan pengetahuan mereka tentang diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Menurut Catron dan Allen (1999) dalam Pintar Cerdas melalui Bermain yang ditulis oleh Tadkiroatun Musfiroh, sepanjang bermain, seseorang kanak-kanak itu mendapat pengalaman baru, memanipulasi peralatan, berinteraksi dengan rakannya dan mula menyusun pengetahuannya tentang dunia. Dalam permainan ini, kanak-kanak bersama ahli kumpulan mereka akan berkolaborasi antara satu sama lain bagi mencari jalan untuk memastikan bola yang dibawa tidak jatuh. Bagi perkembangan emosi, kami melihat kanak-kanak prasekolah gembira semasa bermain permainan ini.

            Di akhir permainan ini juga, ia memberikan satu kepuasan kepada kanak-kanak yang menyertainya. Kepuasan yang mereka kecapi adalah hasil kejayaan mereka dalam menyelesaikan permainan ini. Kepuasan dalam menyelesaikan permainan dapat dikaitkan dengan persepsi kebolehan dalam motivasi intrinsik seseorang individu seperti yang dinyatakan oleh Azizi Yahaya dan Halimah Ma’alip dalam buku Estim Kendiri Remajaa. Kebolehan yang dimaksudkan ini berkait rapat dengan tahap kebolehan mereka sebenar. Mereka berpendapat bahawa semakin tinggi pencapaian seseorang murid itu, semakin besar kemungkinan seseorang murid itu menilai dirinya sebagai seorang yang berkebolehan. Seterusnya, berkemungkinan besar mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Setiap murid berjaya membawa bola yang diberi ke tempat yang disediakan tanpa menyentuh bola tersebut. Permainan yang kami jalankan bukan sahaja mewujudkan persaingan yang sihat antara murid tetapi melalui ekspresi mereka yang gembira setelah selesai menamatkan permainan menunjukkan kepuasan mereka dalam bermain.


            Kesimpulannya, bermain dapat memberikan kanak-kanak pengalaman yang kaya untuk meningkatkan kemahiran bersosial, mempunyai sensitiviti nilai dan keperluan orang lain, mengawal emosi dan juga belajar mengawal diri sendiri. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri.






No comments:

Post a Comment

Leave Your Link :) Jom Blogwalking!