Sweet Followers


Cik Qaseh Visitors

AmazingCounters.com

20 May 2014

Kajian dan Laporan Kanak-kanak Berpendidikan Khas (Autism)




            Kajian ini telah dibuat pada 21 Februari 2014. Kajian ini telah dilaksanakan di Prasekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Padang. Sekolah tersebut mempunyai seramai lima orang murid dan seorang guru pendidikan khas serta seorang pembantu pengurusan murid (PPM). Murid-murid di prasekolah khas ini mempunyai tiga jenis keperluan iaitu Autism, ADHD dan Sindrom Down. Terdapat tiga orang murid adalah kanak-kanak Autism manakala seorang murid adalah ADHD dan seorang lagi adalah Sindrom Down.

TUJUAN KAJIAN
            Kajian ini adalah untuk mengenal pasti jenis keperluan kanak-kanak yang dipilih dan saya telah memilih seorang kanak-kanak autism. Kajian yang dijalankan ini juga adalah untuk mengenal pasti faktor penyebab terhadap ketidakupayaan atau kecacatan yang diamali oleh kanak-kanak tersebut. Sebelum menjalanakn kajian, saya telah menyediakan senarai semak mengenai autism ini.
            Selain itu, kajian dijalankan adalah untuk melihat perbezaan individu dari aspek emosi, fizikal, kognitif dan sosial kanak-kanak yang diperhatikan. Sepertimana yang kita tahu, kanak-kanak berkeperluan khas ini mempunyai sifat dan sikap yang berbeza dengan murid-murid normal yang lain. Pemerhatian ini adalah untuk menilai sejauh mana tahap pencapaian kanak-kanak tersebut. Penilaian pencapaian ini dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti latihan yang telah diberikan oleh guru. Berdasarkan penilaian pencapaian ini, guru boleh boleh menilai kebolehan murid tersebut dan juga mengetahui kelemahan serta kekuatannya. Kajian ini juga bertujuan untuk mencari dan memilih strategi, kaedah dan teknik yang sesuai digunakan dalam pengajaran bagi membantu kanak-kanak ini.


KAEDAH KAJIAN
            Dalam kajian ini, terdapat beberapa kaedah yang saya gunakan. Kaedah ini dapat membantu saya dalam menjalankan kajian serta melengkapkan laporan ini. terdapat tiga kaedah yang saya gunakan iaitu temubual, senarai semak dan pemerhatian.


1) Temu bual
            Melalui kaedah ini saya telah menemu bual guru prasekolah pendidikan khas di SK Bukit Padang dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkembangan dan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh murid yang saya kaji. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, saya dapati banyak maklumat yang diperolehi kerana guru prasekolah khas ini lebih mengenali dan memahami ciri-ciri dan tingkah laku kanak-kanak ini.

2) Senarai semak
            Saya juga telah menggunakan borang senarai semak semasa membuat pemerhatian terhadap murid yang saya kaji. Kaedah ini memudahkan saya untuk menganalisis serta mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh murid tersebut.

3) Pemerhatian
            Melalui kaedah ini, saya melihat segala perbuatan atau tingkah laku murid yang dikaji. Pemerhatian dilakukan adalah berdasarkan borang senarai semak yang saya sediakan yang terbahagai kepada beberapa aspek seperti tingkah laku, emosi dan sosian serta kognitif. Di samping itu, melalui pemerhatian ini juga, saya dapat lihat kelima-lima aspek perkembangan murid yang dikaji termasuklah kemahiran komunikasi, kemahiran motor, sosial, emosi, kognitif dan pengurusan diri.

          
LAPORAN KAJIAN
       Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, kanak-kanak yang dikenali sebagai subjek dalam kajian ini merupakan kanak-kanak berkeperluan khas jenis autisme. Subjek dipilih dalam kajian kes ini kerana kanak-kanak autism adalah kanak-kanak yang sangat unik dan menarik untuk dikenali dengan lebih terperinci. Berdasarkan pengalaman selama membuat kajian dan pemerhatian terhadap kanak-kanak autism ini, mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri jika orang sekeliling mereka khususnya yang terdekat seperti guru dan ibu bapa berjaya mendorong mereka melakukan sesuatu yang lebih baik.
      Berdasarkan temu bual bersama guru prasekolah pendidikan khas di situ, beliau menyatakan bahawa jika dilihat secara seimbas lalu subjek kelihatan seperti kanak-kanak normal yang lain. Kanak-kanak autism lazimnya dikaitkan dengan tingkah laku yang hiperaktif dengan keadaan yang sering berlari ke sana ke mari tanpa sebarang tujuan. Namun, subjek yang saya kaji ini tidak menunjukkan sikap yang hiperaktif tetapi tidak juga menunjukkan sikap yang pasif seperti memencilkan diri daripada rakan-rakan.


FAKTOR PENYEBAB KECACATAN
            Umumnya masalah autisme ini disebabkan oleh faktor genetik dan juga persekitaran. Walau bagaimanapun, punca sebenar masalah autisme ini belum lagi ditemui dengan pasti.s Individu autisme mempunyai kecelaruan yang berbagai-bagai. Autisme juga sering dikaitkan dengan kecelaruan genetik dan masalah yang berkaitan dengan perubatan seperti fergile X syndrome, tuberous sclerosis dan phenylketonuria (PKU). Masalah komplikasi sebelum dan selepas kelahiran juga boleh menyebabkan autisme terhadap bayi yang dilahirkan. Antaranya adalah seperti jangkitan rubella semasa dalam kandungan ibu, encephalitis, kekurangan oksigen semasa lahir ataupun keracunan makanan.
            Faktor persekitaran pula, terdapat sesetengah keluarga yang mempunyai anak autisme yang mengalami immune dysfunction. Immune dysfunction ini berkait rapat dengan faktor persekitaran khususnya dari aspek pemakanan seperti mempunyai alahan terhadap makanan. Kanak-kanak autism lazimnya mempunyai sistem pencernaan ynag kurang baik. Makanan seperti susu dan gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan menyebabkan makanan tersebut bertukar kepada asid amino ataupun pepton yang sepatutnya dibuang melalui perkumuhan air kencing. Tetapi bagi kanak-kanak autisme ini, pepton ini tersebut diserap kembali oleh tubuh dan memasuki aliran darah terus ke otak. Hal ini seterusnya akan merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu.  
            Tahap autisme kanak-kanak ini masih belum mencapai tahap yang teruk. Hal ini disebabkan ciri-ciri autisme yang dimiliki beliau dapat dikenal pasti lebih awal dan beliau telah menerima rawatan awal sebelum dimasukkan ke sekolah pendidikan khas.


Berdasarkan senarai semak yang saya sediakan, saya telah membuat pemerhatian ke atas subjek mengikut aspek-aspek tertentu iaitu fizikal, komunikasi, kognitif, emosi dan sosial.

Fizikal
          Dari aspek fizikal, subjek mempunyai ciri-ciri fizikal yang kemas dan tidak comot. Subjek menunjukkan ciri-ciri kebersihan yang sesuai dengan tahap umurnya. Walau bagaimanapun, sukar untuk membezakan kanak-kanak autism dengan kanak-kanak normal hanya berdasarkan ciri-ciri fizikal sahaja. Biasanya, kebanyakan kanak-kanak autisme sangat sensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan, rasa dan ciuman.
Bagi deria sentuhan, mereka tidak suka disentuh. Namun berbeza dengan kanak-kanak yang saya kaji ini. beliau tidak menunjukkan tindak balas yang negatif apabila orang lain menyentuhnya. Hal ini dapat saya lihat melalui pengajaran yang guru jalankan. Dalam pengajaran tersebut yang memerlukan tunjuk cara, beliau perlu bimbingan yang lebih dengan cara guru memegang tangan beliau dan menggerakkan sepertimana yang ditunjukkan dalam tunjuk cara. Dalam tunjuk cara tersebut, beliau tidak menunjukkan reaksi yang tidak menyenangkan semasa disentuh malah beliau berasa gembira dapat melakukan pergerakan seperti yang guru tunjukkan. Di samping itu, beliau juga ada membuat kontek mata dengan guru tetapi tidak lama dalam masa kira-kira satu saat. Daripada biodata beliau yang saya lihat dalam fail sekolah juga menunjukkan bahawa beliau tidak suka bunyi-bunyian yang pelik.

Komunikasi
       Kanak-kanak autisme sering dikaitkan dengan masalah komunisi dan bahasa. Mereka juga didapati lemah dalam pertuturan. Antara masalah komunikasi yang dialami oleh kanak-kanak autisme ialah lambat memulakan pertuturan, tiada babbling, gerak laku, syarat dan percakapan, tidak menggunakan isyarat dalam perbualan semula jadi dan sering kali bercakap mengenai sesuatu yang tidak difahami oleh orang lain. Selain itu, masalah yang sangat ketara dalam pertuturan kanak-kanak autisme ialah echolalia. Echolalia ini merupakan satu bentuk pengulangan pada sesuatu ayat yang dicakapkan oleh individu lain. Fay (1969) turut menyatakan bahawa kanak-kanak autisme akan mengulangi semula percakapan yang didengar.
Namun, berdasarkan pemerhatian saya terhadap subjek yang saya kaji, saya melihat subjek mempunyai kebolehan mendengar dan melihat serta bertutur yang baik. Subjek boleh mendengar arahan dengan mudah dan secara tidak langsung mengikut arahan yang diberi. Di samping itu, saya katakan beliau dapat bertutur dengan baik setelah melihat beliau dapat mengenal pasti warna-warna asas yang ditunjukkan oleh guru dan menyebut nama-nama warna tersebut dengan jelas iaitu kuning, merah dan biru.

Kognitif
     Dari aspek kognitif, subjek dilihat mempunyai kefahaman tentang pengajaran guru walaupun agak lambat. Beliau boleh menerima arahan yang diberikan oleh guru tetapi memerlukan bimbingan dan peneguhan positif. Selain itu, beliau juga dapat memberikan tumpuan terhadap pengajaran guru tetapi tumpuan beliau akan hilang jika beliau berasa tidak mendapat tumpuan daripada guru. Oleh itu, dalam situasi ini, beliau memerlukan lebih perhatian daripada guru. Semasa guru memberikan perhatian terhadap murid lain, beliau dilihat akan mula berdiam dan membuat hal sendiri namun peka terhadap bunyi di persekitarannya. Misalnya, semasa mendengar rakan-rakan bersorak, beliau turut ikut bersorak. Dalam pengajaran yang telah dilaksanakan oleh rakan sekelas mengenai warna-warna asas, saya dapat lihat beliau mampu mengenal pasti warna asas yang ditunjukkan oleh guru.

Emosi
        Dari aspek emosi pula, subjek tidak menunjukkan pelbagai emosi yang berubah-ubah dan sukar diramal. Kebanyakan kanak-kanak autisme mengalami masalah emosi yang tidak seimbang di mana mereka kadang kala ketawa, menangis atau marah seorang diri tanpa sebab yang munasabah. Sepanjang pemerhatian saya, subjek hanya menunjukkan emosi gembira dan sentiasa senyum walaupun ada kalanya beliau senyum berseorangan. Beliau sangat berbeza berbanding dengan rakan-rakan beliau yang lain yang juga merupakan kanak-kanak autisme. Rakan-rakan beliau menunjukkan sikap yang agresif sehinggakan melakukan tingkah laku yang negatif iaitu memukul rakan yang lain. Tidak seperti rakan beliau yang lain, beliau menunjukkan sikap yang tenang dan pasif. Di samping itu, beliau juga suka dengan peneguhan positif yang diberikan oleh guru seperti tepukan tangan apabila melakukan sesuatu yang betul. Beliau akan menunjukkan reaksi gembira apabila diberikan tepukan.

Sosial
    Dalam aspek sosial, kanak-kanak autism pada tahap yang teruk biasanya tidak mempedulikan langsung benda-benda yang berada di sekeliling termasuklah orang-orang yang berada di samping mereka. Autism pada tahap sederhana pula lazimnya menunjukkan tingkah laku yang baik dan tenang tetapi agak pasif. Situasi ini dapat dilihat pada subjek yang saya kaji. Beliau sentiasa menunjukkan sikap tenang namun sedikit pasif apabila orang kurang memberikan tumpuan terhadap beliau. Dalam aspek sosial ini juga, beliau banyak menunjukkan sikap-sikap yang positif.
            Dalam aktiviti pengajaran di mana murid-murid perlu meniup belon secara bergilir, beliau dapat menunggu giliran sehingga disuruh untuk meniup belon oleh guru. Namun, beliau tidak cuba untuk menonjolkan diri bagi menarik perhatian orang di sekelilingnya. Selain itu, beliau juga tidak dilihat sebagai seorang kanak-kanak yang agresif dan bergaduh dengan kanak-kanak lain. Sebaliknya, beliau boleh berkawan dan menerima orang baru tetapi beliau agak pemalu. Hal ini saya perhatikan apabila saya dan rakan-rakan cuba untuk berkomunikasi dengan beliau dan beliau tidak menunjukkan reaksi yang negatif terhadap kami. Di samping itu, beliau juga pandai membantu rakannya yang lain. Situasi saya lihat apabila beliau membantu mengelapkan muka rakannya yang juga merupakan salah seorang kanak-kanak autisme.

Aspek pembelajaran
         Semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, saya melihat kanak-kanak autisme yang dikaji ini boleh menerima arahan guru dengan mudah. Beliau mampu mengikuti pengajaran guru. Walau bagaimanapun, beliau masih memerlukan bimbingan dan tunjuk cara semasa melakukan aktiviti dalam pembelajaran. Kanak-kanak autisme sering dikatakan tidak suka bermain dan bekerjasama dengan rakan-rakan sebayanya. Namun, kanak-kanak autisme yang saya kaji ini, masih dapat berinteraksi dengan rakan-rakan semasa proses pembelajaran berlaku.
       Kanak-kanak ini juga akan mula kurang perhatian terhadap pengajaran apabila guru kurang memberikan perhatian kepadanya seperti menyebut nama beliau. Berdasarkan ulasan guru terhadap pembelajaran beliau yang saya lihat pada fail peribadi kanak-kanak ini, kanak-kanak ini boleh melakukan aktiviti yang guru arahkan namun, beliau memerlukan bimbingan dan perhatian daripada guru.
           Beliau juga mempunyai tahap pengetahuan sedia ada yang lebih baik berbanding rakan beliau yang lain. Hal ini dapat dilihat dalam aktiviti mencantumkan gambar anggota badan. Beliau dapat mencantumkan semua gambar tersebut dengan betul. Hal ini menunjukkan bahawa beliau sudah mengenali jenis-jenis anggotan badan.
      Jika pengajaran melibatkan aktiviti pergerakan seperti menyanyi sambil melakukan pergerakan, kanak-kanak ini tidak dapat melakukannya secara sendiri. Seorang guru perlu memegang kanak-kanak untuk membimbing beliau melakukan pergerakan tersebut. Jika tidak diberikan bimbingan, beliau hanya berdiri diam dan melihat rakan-rakan beliau melakukan pergerakan tersebut. Di samping itu, beliau seorang disiplin dan boleh menunggu giliran semasa belajar. Beliau tidak menunjukkan reaksi yang agresif atau melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu pengajaran. Beliau juga patuh dan memahami arahan yang guru berikan.


STRATEGI, KAEDAH, TEKNIK YANG DIGUNAKAN

            Seperti kanak-kanak normal, kanak-kanak berkeperluan khas juga mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Menurut Barber dan Holdbart (1998), strategi penilaian yang berbeza diperlukan dalam mengajar kanak-kanak berkeperluan khas dalam menentukan keberkesanan pengajaran. Sebagai seorang guru yang peka terhadap keperluan murid, guru perlu meneliti pendekatan pengajaran yang sesuai bagi merancang pengajaran.
            Antara strategi ataupun kaedah yang boleh digunakan bagi membantu kanak-kanak autisme ini adalah seperti:


1) Melaksanakan pengajaran menggunakan auditori atau visual
Gaya pengajaran auditori ini merupakan cara pengajaran yang menekankan pendengaran perkataan dan arahan lisan. Murid perlu mengingati penerangan melalui bacaan kuat atau menggerakkan bibir ketika mempelajari sesuatu. Di samping itu, melalui pengajaran gaya autori ini, murid akan mengukuhkan ingatan mereka dengan mendengar semula rakaman pita audio. Selain kaedah auditori, kaedah visual denan menggunakan foto-foto, gambar rajah, lambang atau isyarat boleh membantu kanak-kanak ini meluahkan perasaan mereka. Dengan mengenal pasti perasaan mereka, emosi dan perasaan mereka tidak akan mempengaruhi tingkah laku mereka cenderung ke arah negatif seperti memukul dan mencederakan diri atau orang lain.


2) Kaedah pemudahcaraan
Kaedah ini lebih menitikberatkan peranan murid dalam pembelajaran di mana guru hanya berperanan sebagai fasilitator yang berfungsi untuk mendidik, membimbing, memujuk,mengukuh, memberikan bantuan dan menolong kanak-kanak mencapai matlamat pembelajaran yang dirancangkan. Dengan kaedah pemudahcaraan ini juga, guru dapat menggalak murid supaya aktif dalam proses pembelajaran deng memberi arahan dan panduan yang jelas. Saya melihat murid yang saya kaji iaitu Jhudiel boleh memahami arahan yang mudah untuk aktiviti yang mudah. Oleh itu, guru boleh memberikan aktiviti yang lebih mencabar kepada kanak-kanak ini dan bertindak sebagai pemudahcara sehingga beliau dapat melaksanakan aktiviti tersebut dengan sendiri.


3) Kaedah tunjuk cara
Tunjuk cara ialah satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuati aktiviti mengikut prosedur. Ia melibatkan demonstrasi guru atau seorang individu di hadapan kelas untuk menunjukkan sesuatu aktiviti atau prosedur. Semasa memerhatikan kanak-kanak yang saya kaji ini, walaupun beliau mudah faham apa yang diajar dan ditunjukkan, tunjuk cara yang diberikan guru juga amat penting. Misalnya, dalam aktiviti pengajaran meniup warna pada kertas lukisan yang dijalankan oleh rakan saya. Tunjuk cara ini juga memberikan peluang kepada Jhudiel untuk benar-benar memahami pelajaran yang guru sampaikan. Di samping itu, kaedah in juga dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk menjalankan sesuatu aktiviti.


4) Kaedah peneguhan positif
Untuk kanak-kanak autisme seperti Jhudiel ini, kaedah peneguhan positif ini adalah amat sesuai. Peneguhan negatif seperti pengasingan , time-out, shaping dan sebagainya adalah kurang sesuai memandangkan beliau tidak menunjukkan tingkah laku yang negatif dan agresif. Pemberian peneguhan positif kepada kanak-kanak ini membuatkan mereka seronok menjalani pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Kaedah ini mampu mewujudkan tingkah laku yang positif. Antara peneguhan positif yang digunakan oleh rakan-rakan saya ialah memberi pujian dan tepukan apabila Jhudiel melakukan sesuatu aktiviti dengan betul. Kaedah ini juga membantu perkembangan emosi kanak-kanak autisme ini di mana mereka akan berasa seronok semasa belajar.


5) Main sambil belajar
Teknik ini merupakan aktiviti yang dijalankan secara spontan dan menyeronokkan yang membawa kepada pembelajaran. Main adalah ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangannya palingjelas pada peringkat kanak-kanak. Kanak-kanak akan mencari pengetahuan dengan kaedah permainan. Jhudiel adalah seorang kanak-kanak autism yang tidak agresif dan agak pasif apabila guru kurang memberi perhatian kepada beliau. Oleh itu dengan aktiviti main sambil belajar ini mampu membawa beliau menyertai pengajaran yang dilaksanakan oleh guru. Selain menjadikan pengajaran dan pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang seronok, ia juga mampu merangsang motivasi belajar kesan daripada keseronokan bermain. Antara jenis permainan dalam pengajaran ialah permainan manipulatif, fizikal dan permainan bahasa.


6) Kaedah simulasi
Kaedah ini merupakan gambaran abstrack sesuatu situasi sebenar yang memerlukan murid berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kaedah ini juga merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah-masalah atau menyediakan situasi-situasi yang benar-benar wujud di dalam keadaan yang terkawal.


7) Strategi pengajaran mediatif
Strategi pengajaran mediatif ini boleh digunakan dengan berbantukan komputer semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan simbol-simbol grafik yang menarik dapat membantu kanak-kanak autisme mengingat dan menyokong pemahaman mereka terhadap pengajaran. Di samping berbantukan komputer, kanak-kanak autisme ini juga boleh menggunakan rakaman suara dan mengulangi rakaman yang telah didengari. Kaedah ini sesuai dengan kanak-kanak autisme yang saya kaji dimana beliau mempunyai sedikit masalah dalam pertuturan. Dengan rakaman suara ini beliau boleh mengulangi rakaman tersebut sambil menyebut sesuatu perkataan, frasa atau ayat secara berulang-ulang sehingga mereka memperoleh kefahaman.


8) Kaedah koperatif
Kaedah ini menekankan pelaksanaan aktiviti berkumpulan. Dengan kaedah ini, guru dapat memberikan peluang dan laluan serta galakan kepada kanak-kanak autisme ini berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran bertutur di samping menambahkan perbendaharaan kata. Jhudiel merupakan kanak-kanak autisme yang kurang bertutur dengan rakan sebaya dan bukan seorang kanak-kanak yang aktif. Oleh itu, dengan kaedah pembelajaran koperatif, ini boleh membantu beliau untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan beliau yang lain.


9) Gabungjalin pelajaran dengan muzik
Kaedah ini dikatakan mampu membantu kanak-kanak autisme supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi dengan menggabungkan pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian. Kanak-kanak autisme mempunyai bakat mereka yang tersendiri. Bagi kanak-kanak yang saya kaji, keyakinan diri beliau perlu digalakkan lagi dan dibimbing oleh guru agar beliau rasa ragu-ragu beliau dalam melakukan aktiviti dapat dikurangkan.


10) Kaedah Multi Sensori
Kaedah ini digunakan untuk merangsang minda kanak-kanak autisme melalui lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Kaedah ini membantu merangsang pemikiran kanak-kanak autisme. Apabila mereka memegang, merasa, menghidup, mendengar dan melihat, ini akan memberi tindak balas bagi semua deria ini.

     Kesimpulannya, kanak-kanak autisme ini tidak ada perbezaan dengan kanak-kanak normal yang lain. Namun, apabila membuat pemerhatian, kanak-kanak ini menampakkan kelainan dari segi sikap, pemikiran, tingkahlaku dan pertuturan. Walaupun kanak-kanak autisme ini kurang upaya dalam banyak perkara, namun mereka masih mempunyai kelebihan dan keupayaan dari aspek yang lain. Teknik pengajaran yang betul dan sesuai dengan kanak-kanak autisme ini akan membolehkan mereka memperoleh ilmu pengetahuan tanpa halangan dengan sempurna.

RUJUKAN
Abdul Majib Mohd Isa (1997). Psikologi Pendidikan 1. Selangor : Longman Malaysia
Sdn.Bhd.
Akhiar Pardi,. & Shamsina Shamsudin. (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Kuala Lumpur : Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Halizah Hamzah,. & Joy N. Samuel. Perkembangan Kanak-kanak. Kumpulan Budiman     
           Sdn. Bhd.

Hasab Mohd Ahli (1996). Mendidik Anak Pintar Cerdas. Kuala Lumpur : Utusan 
          Publications& Distributors Sdn. Bhd.

Kamarudin Husin. (2010). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur : Unipress Publications 
         & Distributors Sdn. Bhd.

Siti Salwa Tumiran (2002). Pintar Cerdas Melalui Bermain. Kuala Lumpur : Synergy Media


No comments:

Post a Comment

Leave Your Link :) Jom Blogwalking!