Sweet Followers


Cik Qaseh Visitors

AmazingCounters.com

31 May 2014

Welcome to my Blog ... :)


testing




tgah try buat welcome image untuk blog... hehe...
malas nak upload dlm photobucket (x reti lagi .. :P)
cuba3... tgok lah kalau menjadi... harap2 jadilah...

30 May 2014

(PRA 3107) Kesan Aktiviti Permainan Terhadap Perkembangan Sosioemosi Kanak-kanak dalam Pendidikan Prasekolah


          Pendidikan prasekolah adalah pendidikan asas yang penting kepada semua manusia di dunia ini. Melalui pendidikan prasekolah juga kanak-kanak belajar cara mengawal emosi mereka serta pergaulan sosial dengan rakan-rakan sepermainan  mereka. Oleh itu, melalui perkembangan emosi, tingkah laku kanak-kanak dibentuk sama ada yang positif ataupun negatif. Bagi membantu perkembangan sosioemosi kanak-kanak ini, salah satu cara adalah dengan permainan. Bermain adalah kegiatan yang dilakukan atas dasar suatu kesenangan dan tanpa mempertimbangkan hasil akhir sesuatu perkara. Namun, bagi seorang kanak-kanak ia adalah berkaitan dengan peristiwa situasi, reaksi dan aksi (Tadkiroatun Musfiroh, Pintar Cerdas melalui Bermain). Melalui bermain ini, kanak-kanak memperoleh berbagai kemampuan seperti kemampuan berkomunikasi, kemampuan berbahasa, kemampuan bersosial, kemampuan pengurusan emosi dan kemampuan berfikir secara logik-matematik.

Pelbagai respon yang kami lihat semasa aktiviti permainan dijalankan. Kanak-kanak mula rasa gembira semasa melakukan aktiviti permainan. Selaras dengan objektif permainan ini iaitu mewujudkan kerjasama antara murid, permainan ini memerlukan kerjasama antara murid dengan rakan-rakan mereka. Dengan ini, secara tidak langsung mereka mempelajari tingkah laku bersosial seperti saling membantu, berkongsi dan bekerjasama. Dalam permainan ini yang disebut “bola berduri”, kanak-kanak perlu membawa bola dan dimasukkan ke dalam gelung tanpa memegang bola tersebut. Untuk membawa bola tersebut, kanak-kanak perlu menggunakan kain yang disediakan dan meletakkan bola di atasnya. Bola akan dibawa oleh kanak-kanak secara berpasangan dan menghantar kepada pasangan kanak-kanak yang lain. Oleh itu, kanak-kanak perlu bekerjasama untuk memastikan bola yang dibawa tidak jatuh ke tanah.

            Semasa bermain juga, murid-murid prasekolah dapat menyatakan perasaan dan emosi mereka sama ada gembira, sedih, marah, takut dan sebagainya. Menurut Piaget mahupun Vygotsky dalam Pintar Cerdas melalui Bermain (Tadkiroatun Musfiroh), bermain berkait rapat dengan representasi ataupun gambaran iaitu bagaimana kanak-kanak menggambarkan dunia dan mengekspresikan perasaan dan keperluan mereka. Daripada aktiviti ini, kami dapat melihat pelbagai gelagat dan ekspresi yang mereka tunjukkan. Antaranya adalah perasaan gembira ketika bermain. Hal ini kerana, bermain adalah lumrah bagi kehidupan seseorang kanak-kanak. Selain itu, kami juga dapat melihat perasaan takut dan bimbang melalui ekspresi kanak-kanak. Perasaan takut dan bimbang ini adalah disebabkan sikap berhati-hati mereka untuk memastikan bola yang mereka bawa tidak jatuh. Sekiranya bola jatuh, mereka terpaksa mengulang semula permainan daripada awal. Barnett (dalam Brewer, 1995) melalui buku Pintar Cerdas melalui Bermain membuktikan bahawa kanak-kanak yang ketakutan akan berasa kurang takut setelah mereka mengekspresikan ketakutan mereka ke dalam aktiviti bermain. Justeru, melalui permainan, kanak-kanak belajar untuk menerima, mengekspresi dan menguasai perasaan mereka secara positif dan konstruktif. Hal ini seterusnya memberikan kanak-kanak kebolehan untuk mengenal emosi mereka sendiri. Kemahiran mengenal emosi sendiri ini membolehkan membolehkan mereka mengetahui jenis-jenis perasaan dalaman yang wujud dalam diri mereka dan seterusnya mampu mengenal apakah situasi dan bagaimana sesuatu emosi itu boleh berubah dalam diri mereka. Di samping itu, kanak-kanak juga mampu melabelkan emosi dengan membuat pengelasan tertentu dengan membuat beberapa kesimpulan berdasarkan keadaan dan situasi serta jenis-jenis emosi yang terpancar dalam keadaan tersebut. Misalnya, dalam bermain permainan ini, antara jenis emosi yang jelas ditunjukkan adalah gembira.

Di samping itu, mereka juga belajar untuk menerima diri mereka dan bermotivasi untuk mengembangkan jati diri mereka. Amstrong (1993) juga dalam buku Pintar Cerdas melalui Bermain menyatakan bahawa bermain mampu membuatkan kanak-kanak menghargai diri sendiri dan memiliki ruang untu beriadah. Kanak-kanak mempelajari diri mereka sendiri sebagai individu yang terpisah dan mempunyai pemikiran dan perasaan yang bereza dan pelbagai. Pemikiran dan perasaan ini seterusnya direalisasikan melalui pengalaman bermain. Dengan itu, ia mendorong kanak-kanak prasekolah ini untuk memahami dan menerima emosi mereka sendiri dan seterusnya membantu perkembangan diri yang lebih baik, meningkatkan hubungan serta kemampuan mereka untuk menghadapi tekanan dan perubahan.

            Permainan ini juga memberikan peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu, secara tidak langsung ia mewujudkan kerjasama antara murid-murid tersebut. Interaksi dengan rakan membolehkan kanak-kanak memperoleh semangat bersaing serta kemahiran penyesuaian dengan orang lain. Dari segi perkembangan sosioemosi, melalui permainan yang diadakan ini, murid-murid prasekolah dapat belajar cara mengadakan perhubungan sosial bersama rakan khususnya rakan dalam kumpulan. Contohnya dalam permainan ini, kanak-kanak belajar untuk berkomunikasi dengan rakan mereka untuk memastikan bola yang dibawa tidak jatuh. Di samping itu, mereka juga perlu memahami apa yang cuba disampaikan oleh rakan. Interaksi juga membantu kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif. Kanak-kanak yang kami lihat sebelum ini sebagai kanak-kanak yang pasif seperti Shafiqa dan Elfira turut melibatkan diri dalam permainan. Walaupun tidak terlalu aktif seperti rakan-rakan mereka yang lain, namun mereka diberi peluang.

            Selain itu, kanak-kanak juga belajar tentang cara menyelesaikan masalah apabila berlaku. Kanak-kanak yang bermain mesti berfikir tentang bagaimana mengorganisasikan sesuai dengan tujuan mereka bermain. Hal ini seterusnya dapat membantu menyediakan kerangka kepada kanak-kanak untuk mengembangkan pengetahuan mereka tentang diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Menurut Catron dan Allen (1999) dalam Pintar Cerdas melalui Bermain yang ditulis oleh Tadkiroatun Musfiroh, sepanjang bermain, seseorang kanak-kanak itu mendapat pengalaman baru, memanipulasi peralatan, berinteraksi dengan rakannya dan mula menyusun pengetahuannya tentang dunia. Dalam permainan ini, kanak-kanak bersama ahli kumpulan mereka akan berkolaborasi antara satu sama lain bagi mencari jalan untuk memastikan bola yang dibawa tidak jatuh. Bagi perkembangan emosi, kami melihat kanak-kanak prasekolah gembira semasa bermain permainan ini.

            Di akhir permainan ini juga, ia memberikan satu kepuasan kepada kanak-kanak yang menyertainya. Kepuasan yang mereka kecapi adalah hasil kejayaan mereka dalam menyelesaikan permainan ini. Kepuasan dalam menyelesaikan permainan dapat dikaitkan dengan persepsi kebolehan dalam motivasi intrinsik seseorang individu seperti yang dinyatakan oleh Azizi Yahaya dan Halimah Ma’alip dalam buku Estim Kendiri Remajaa. Kebolehan yang dimaksudkan ini berkait rapat dengan tahap kebolehan mereka sebenar. Mereka berpendapat bahawa semakin tinggi pencapaian seseorang murid itu, semakin besar kemungkinan seseorang murid itu menilai dirinya sebagai seorang yang berkebolehan. Seterusnya, berkemungkinan besar mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Setiap murid berjaya membawa bola yang diberi ke tempat yang disediakan tanpa menyentuh bola tersebut. Permainan yang kami jalankan bukan sahaja mewujudkan persaingan yang sihat antara murid tetapi melalui ekspresi mereka yang gembira setelah selesai menamatkan permainan menunjukkan kepuasan mereka dalam bermain.


            Kesimpulannya, bermain dapat memberikan kanak-kanak pengalaman yang kaya untuk meningkatkan kemahiran bersosial, mempunyai sensitiviti nilai dan keperluan orang lain, mengawal emosi dan juga belajar mengawal diri sendiri. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri.






(PRA 3108) Prinsip Rukun Negara dan FPK Membantu Kurikulum, Pengajaran dan Pengurusan Pusat Pembelajaran Tunjang Kerohanian dalam Prasekolah


     Falsafah Pendidikan adalah panduan ataupun haluan kepada pendidikan untuk merancang atau merefomasikan sistem pendidikan berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan negara. Oleh itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal secara teliti dengan mengambil kira aspek-aspek yang berkaitan dengan keperluan individu, masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, secara tidak langsung ia membantu dalam merancang kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran bagi tunjang kerohanian, sikap dan nilai dalam pendidikan prasekolah. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan seiring dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja di persekitaran dan mengaplikasikan ilmu atau kemahiran yang diperolehi dalam kehidupan sehariannya sebagai persediaan untuk kehidupan pada masa akan datang (Department of Education and Science, 1990).            


          Tunjang kerohanian, Sikap dan Nilai amat penting bagi pemupukan nilai Islam dan nilai murni kepada kanak-kanak bagi melahirkan rakyat Malaysia yang percaya kepada Tuhan, Berperibadi mulai, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kurikulum pendidikan Islam dalam tunjang diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kurikulum pendidikan Islam dalam tunjung Kerohanian, Sikap dan Nilai dapat menyumbang ke arah melahirkan murid Islam yang beriman, berilmu, berakhlak mulia, bertaqwa dan beramal soleh melalui ilmu, kemahiran dan amalan yang disarankan. Pendidikan Islam Prasekolah juga dapat disampaikan melalui aktiviti bercerita, tunjuk cara, amali, nyanyian lagu-lagu nasyid, permainan, lakonan, penerokaan dan penjelasan, pemerhatian dalam sekitar serta kegiatan manusia.              

          Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ini juga ada menyatakan matlamatnya untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Oleh itu, kerohanian juga merupakan salah satu daripadanya. Dalam tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), ia menyenaraikan senarai fokus yang perlu ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran, contohnya berkaitan akidah, ibadah, sirah, akhlak dan asas bahasa Al-Quran dan tulisan jawi dalam pendidikan Islam. Bagi pendidikan Moral pula, ia menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri murid-murid seperti nilai kasih sayang, bekerjasama, disiplin, toleransi, bertolak ansur, bersyukur dan sebagainya. Jikan nilai-nilai ini disematkan ke dalam diri murid-murid, tingkah laku dan sikap mereka akan lebih baik, menunjukkan kesopanan dan tidak melakukan perkara-perkara negatif.        

      Kurikulum dibentuk berdasarkan falsafah yang telah ditetapkan. Oleh itu, falsafah pendidikan perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum menyediakan kurikulum prasekolah. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang digunakan dalam pengajaran prasekolah adalah dibentuk berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara. Semua pusat pembelajaran kanak-kanak sama ada diuruskan oleh Kementerian Pelajaran mahupun dikelolakan oleh pihak swasta mestilah mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sehubungan dengan itu, program pendidikan prasekolah yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni kepada kanak-kanak secara praktikal dan secara tidak formal dalam suasana  yang menyeronokkan. Bagi membantu perkembangan kanak-kanak, pendidik perlu memahami hasrat negara yang telah diterjemahkan dalam FPK dan Rukun Negara. Oleh itu, kurikulum bagi pendidikan prasekolah telah disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak supaya dapat merangsang pemikiran, membina sikap positif dan akhlak yang baik, meningkatkan kecergasan dan kesihatan ke arah penyuburan potensi yang optimum. Selaras dengan matlamat FPK, kurikulum pendidikan prasekolah memberi fokus kepada perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Jika dilihat dalam konteks tunjang kerohanian, sikap dan nilai dalam pendidikan prasekolah, terdapat beberapa elemen dalam FPK yang telah dijadikan sebagai panduan dalam merancang suatu kurikulum. Antara elemen tersebut adalah seperti pendidikan suatu usaha berterusan, memperkembang potensi individu, perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu, insang yang seimbang dan harmonis, kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, rakyat Malaysia yang berilmu pengtahuan, rakyat Malaysia yang berketrampilan, rakyat Malaysia yang berakhlak mulia, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri dan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan.        

          Berdasarkan elemen pertama iaitu pendidikan suatu usaha berterusan, kita tahu bahawa proses pendidikan itu tidak terbatan dan merupakan proses yang dijalankan secara berterusan sepanjang hayat. Hal ini termasuklah proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada di rumah lagi dan seterusnya pendidikan secara formal di sekolah. Misalnya, kita dapat lihat bahawa pendidikan di Malaysia bermula daripada pendidikan di peringkat awal kanak-kanak sama ada di prasekolah, rumah ataupun tadika. Pendidikan diteruskan pula ke peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah pada umur 7 hingga 17 tahun. Kemudian, diteruskan lagi peringkat pengajian tinggi, iaitu insitut pendidikan tinggi sama ada institut pendidikan tinggi awam mahupun ataupun swasta.                

           Elemen memperkembang potensi individu pula menekankan keupayaan, bakat dan potensi individu dalam aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Setiap individu mempunyai potensinya yang tersendiri sejak lahir lagi. Oleh itu, melalui pendidikanlah seseorang dapat memperkembangkan dan meningkatkan potensi mereka agar mencapai ke tahap yang lebih cemerlang. Jika dilihat dalam aspek rohani, ia merangkumi unsur berkaitan kalbu iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. 

          Unsur rohani lebih menjurus kepada amalan keagamaan. Misalnya pendidikan Islam dalam tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai, ia memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasullullah dan Kalimah Syahadah. Di samping itu, murid-murid prasekolah juga belajar mengenai cara-cara bersuci, berwuduk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasullullah dan melakukan amalan harian mengikut adab.  Pada masa yang sama, murid-murid prasekolah juga dapat mengenal asas bahasa Al-Quran seperti huruf hijaiyah dan jawi serta menghafal beberapa doa dan surah-surah pendek. Melalui kemahiran-kemahiran yang diajar inilah mampu membantu mengembangkan potensi kanak-kanak tersebut dalam aspek rohani. Contohnya, guru menekankan nilai dan amalan membaca doa dan membasuh tangan sebelum dan selepas makan merupakan salah satu aspek kerohanian yang boleh diterapkan dalam diri murid-murid prasekolah.          

          Dalam FPK juga, ia menekankan elemen perkembangan potensi individu secara menyeluruh. Hal ini bermakna, bakat, potensi dan kebolehan seseorang individu itu tidak boleh dikembangkan secara berasingan, sebaliknya dikembangkan secara bersepadu iaitu merangkumi aspek JERIS. Potensi kanak-kanak bukan sahaja dikembangkan dalam aspek komunikasi, fizikal dan kreativiti, ketrampulan, kemanusiaan ataupun sains dan matematik tetapi aspek kerohanian juga perlu seiring dengan perkembangan aspek-aspek yang lain. Justeru, Kurikulum Standard Pendidikan Prasekolah dibahagikan kepada beberapa tunjang termasuklah tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai.          

          Bagi elemen yang ketiga iaitu insan yang seimbang dan harmonis merujuk kepada perkembang individu dari aspek ilmu pengetahuan, bertenaga mahir, berakhlak, mempunyai rasa kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwan dan fikiran yang tenteram, tubuh badan yang sihat dan cergas serta kematangan dalam emosi dan sosial. Menurut perspektif Islam, tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk membentuk akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara. Matlamat utama pendidikan juga menurut perspektif Islam adalah untuk pembinaan dan pendidikan akal (tauhid), pembinaan keperibadian (sikap) persiapan diri bagi kehidupan dunia dan akhirat (kemahiran) dan seterusnya supaya manusia mampu menerokai dan menguasai ilmu sebagai asas pembangunan diri secara berterusan. Oleh itu, elemen insan yang seimbang dan harmonis adalah salah satu panduan dalam membentuk kerohanian dalam diri seseorang individu. Untuk menjadi insan yang seimbang adalah amat penting bagi seseorang individu itu memiliki ilmu dan sahsiah yang baik. Keseimbangan antara kelima-lima aspek ini (JERIS) akan menghasilkan individu yang mempu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain. Seseorang individu itu juga perlu seimbang dari aspek luaran dan dalaman iaitu sebagai manusia yang jujur, benar, baik tutur kata dan amalannya untuk mendapat bimbingan dan hidayah Allah. Kesemua aspek ini ada diterapkan dalam tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai dalam pendidikan Prasekolah.          

          Elemen kepercayaan kepada Tuhan juga diberikan penekanan dalam FPK bahawa semua hidupan yang berada di muka bumi ini adalah tidak tercipta dengan sendirinya malah adalah ciptaan Allah. Daripada elemen ini, kita dapat lihat dalam kurikulum Standard Pendidikan Prasekolah terdapat perkara yang difokuskan salah satunya ialah kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini termasuklah aktiviti menyebut Rukun Iman dan Rukun Islam. Manakala dalam pendidikan Moral pula adalah seperti nilai bersyukur terhadap ciptaan yang Allah beri.          

       Elemen seperti membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan pula menggalakkan masyarakat agar menanam sikap suka membaca dan cinta akan ilmu pengetahuan. Elemen ini dapat kita dalam usaha kerajaan untuk memastikan rakyatnya memiliki sikap suka membaca dan cinta akan ilmu pengetahuan dan mengamalkannya bagig membantu bukan sahaja diri sendiri tetapi juga membantu orang lain. Antara ciri individu yang berilmu pengetahuan adalah mereka yang memiliki ciri-ciri suka membaca, sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan berusaha meningkatkan dan menyebarkan ilmu. Penerapan budaya membaca juga adalah salah satu ninlai yang diterapkan dalam perkembangan kerohanian kanak-kanak, contohnya nila kerajinan. Oleh itu, elemen FPK ini membantu dalam merancang dan melaksanakan kurikulum bagi tunjang kerohanian di mana tumpuan diberikan kepada perkembangan dan penguasaan kemahiran berfikir kanak-kanak sebagai individu yang berilmu pengetahuan. Kepelbagaian kecerdasan murid juga perlu diambil kira untuk memperkukuhkan pengalaman pembelajaran mereka dalam usaha membentuk manusia yang mempunyai ciri-ciri kerohanian yang tinggi dan memegang nilai-nilai murni dalam diri mereka.          

         KSPK juga ada menerapkan elemen rakyat Malaysia yang berketrampulan dalam tunjang kerohanian, sikap dan nilai. Seorang individu yang berketrampulan adalah seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kecekapan dalam melakukan tugas demu memajukan negara. Di samping itu, elemen rakyat Malaysia yang berakhlak mulia menggalakkan untuk menerapkan tingkah laku yang bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Seseorang rakyat yang berakhlak mulia juga adalah seorang yang tahu membezakan sesuatu perkara yang baik dan yang buruk serta sentiasa memilirkan kesan dan akibat daripada perbuatan yang dibuatnya.          

          Prinsip Rukun Negara bukan sahaja panduan dalam bidang pendidikan, tetapi ia juga menjadi pegangan dan asas kepada seluruh warga Malaysia. Walau bagaimanapun, dalam konteks pendidikan prinsip rukun negara ini amat berkait rapat dalam membantu perkembangan kerohanian, sikap dan nilai kanak-kanak. Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral bagi prasekolah dalam tunjang kerohanian yang mengandungi nilai-nilai adalah berdasarkan agama, tradisi dan norma-norma masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta norma-norma kemanusiaan sejagat yang sesuai dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Misalnya, prinsip pertama dalam rukun negara ialah kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini menekankan bahawa bangsa dan negara kita telah wujud atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Matlamat pendidikan juga adalah untuk membangunkan semua aspek diri individu secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri individu terpelihara. Selaras dengan matlamat FPK iaitu melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial, terdapat beberapa prinsip yang dipililh bagi merealisasikan hasrat yang terkandung dalam Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Antaranya adalah bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang lain, berpegang teguh pada ajaran agama, prihatin kepada alam sekitar, mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup, bersemangat patriotik, menghormati hak asasi manusia dan mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan. Matlamat negara juga adalah untuk membina masyarakat yang bermorak dan beretika iaitu sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh dan bersikap toleransi.          

        Berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, kita perlu membantu murid-murid untuk memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip tersebut. Pendidikan Moral yang terbina mampu memberi peluang kepada murid untuk menguasai kemahiran-kemahiran tertentu seperti kemahiran generik, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan konflik dan kemahiran sosial. Dengan adanya penguasaan kemahiran-kemahiran ini, ia menyediakan murid untuk menghadapi alaf baru dengan penuh keyakinan dan bertanggungjawab. Dalam prinsip Rukun Negara yang kedua pula iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, prinsip ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu hormat dan patuh pada pemimpin dan raja serta setia kepada negara. Perancangan dan pelaksanaan kurikulum di sekolah juga perlu diberi perhatian bagi membolehkan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara rasional.          

             Di samping itu, perkembangan aspek rohani dan personaliti individu sepertimana yang ingin dicapai dalam tunjang kerohanian, sikap dan nilai dalam KSPK, dapat kita lihat dalam Prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip ini berkait rapat dengan nilai morak dan akhlak masyarakat. Prinsip ini juga menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyaraka sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai murni. Jika kita lihat dalam pendidikan moral prasekolah, ia memberi fokus kepada nilai-nilai dan perlakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang murid berada di prasekolah. Antara fokus dalam pendidikan morak di prasekolah adalah seperti Kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, berhemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari dan berdisiplin. Walau bagaimanapun, pendidikan moral di prasekolah ini tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik sahaja tetapi diterapkan melalui semua aktiviti yang dijalankan di prasekolah.          

            Kesimpulannya, prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijadikan panduan dan pegangan menentukan kurikulum sekolah mampu membantu perkembangan tunjang kerohanian, sikap dan nilai di prasekolah. Untuk meningkatkan perkembangan rohani kanak-kanak, pendidikan agama harus ditekankan seperti yang dilakukan pada masa kini. Kesedaran tentang Tuhan sebagai pencipta alam semesta perlu ditegaskan. Melalui pendidikan agama dalam tunjang kerohanian inilah semangat dan rasa sayang kepada Tuhan serta sifat-sifat yang taat kepada suruhan Tuhan tetap diperkukuhkan. Oleh itu, prinsip Falsafah Pendidikan dan Rukun Negara seperti kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan akan tercapai. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanaan pelaksanaan sesuatu kurikulum bergantung kepada kefahaman dan penghayatan pelaksana di dalam bilik darjah.                         

26 May 2014

Pengurusan Kanak-kanak dalam Kelas Prasekolah ~ Pembentangan














Untuk pengetahuan... yg ni pembetangan part sy dan rakan2 sekumpulan jak... :))

EDU 3106 - Pelan Tindakan Mewujudkan Persekitaran Mesra Budaya


1.0  PENDAHULUAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh rakyat berbilang kaum daripada pelbagai latar belakang budaya yang hidup aman dan damai bersama. Di dalam kelas, terdapat kepelbagaian latar belakang setiap murid termasuklah dari segi lokasi tempat tinggal, pekerjaan ibu bapa, pendidikan yang diterima, status ekonomi, sosial, keturunan, kuasa politik, bangsa, bahasa, adat resam, kepercayaan dan jantina.







20 May 2014

Kajian dan Laporan Kanak-kanak Berpendidikan Khas (Autism)




            Kajian ini telah dibuat pada 21 Februari 2014. Kajian ini telah dilaksanakan di Prasekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Padang. Sekolah tersebut mempunyai seramai lima orang murid dan seorang guru pendidikan khas serta seorang pembantu pengurusan murid (PPM). Murid-murid di prasekolah khas ini mempunyai tiga jenis keperluan iaitu Autism, ADHD dan Sindrom Down. Terdapat tiga orang murid adalah kanak-kanak Autism manakala seorang murid adalah ADHD dan seorang lagi adalah Sindrom Down.

TUJUAN KAJIAN
            Kajian ini adalah untuk mengenal pasti jenis keperluan kanak-kanak yang dipilih dan saya telah memilih seorang kanak-kanak autism. Kajian yang dijalankan ini juga adalah untuk mengenal pasti faktor penyebab terhadap ketidakupayaan atau kecacatan yang diamali oleh kanak-kanak tersebut. Sebelum menjalanakn kajian, saya telah menyediakan senarai semak mengenai autism ini.
            Selain itu, kajian dijalankan adalah untuk melihat perbezaan individu dari aspek emosi, fizikal, kognitif dan sosial kanak-kanak yang diperhatikan. Sepertimana yang kita tahu, kanak-kanak berkeperluan khas ini mempunyai sifat dan sikap yang berbeza dengan murid-murid normal yang lain. Pemerhatian ini adalah untuk menilai sejauh mana tahap pencapaian kanak-kanak tersebut. Penilaian pencapaian ini dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti latihan yang telah diberikan oleh guru. Berdasarkan penilaian pencapaian ini, guru boleh boleh menilai kebolehan murid tersebut dan juga mengetahui kelemahan serta kekuatannya. Kajian ini juga bertujuan untuk mencari dan memilih strategi, kaedah dan teknik yang sesuai digunakan dalam pengajaran bagi membantu kanak-kanak ini.


KAEDAH KAJIAN
            Dalam kajian ini, terdapat beberapa kaedah yang saya gunakan. Kaedah ini dapat membantu saya dalam menjalankan kajian serta melengkapkan laporan ini. terdapat tiga kaedah yang saya gunakan iaitu temubual, senarai semak dan pemerhatian.


1) Temu bual
            Melalui kaedah ini saya telah menemu bual guru prasekolah pendidikan khas di SK Bukit Padang dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkembangan dan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh murid yang saya kaji. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, saya dapati banyak maklumat yang diperolehi kerana guru prasekolah khas ini lebih mengenali dan memahami ciri-ciri dan tingkah laku kanak-kanak ini.

2) Senarai semak
            Saya juga telah menggunakan borang senarai semak semasa membuat pemerhatian terhadap murid yang saya kaji. Kaedah ini memudahkan saya untuk menganalisis serta mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh murid tersebut.

3) Pemerhatian
            Melalui kaedah ini, saya melihat segala perbuatan atau tingkah laku murid yang dikaji. Pemerhatian dilakukan adalah berdasarkan borang senarai semak yang saya sediakan yang terbahagai kepada beberapa aspek seperti tingkah laku, emosi dan sosian serta kognitif. Di samping itu, melalui pemerhatian ini juga, saya dapat lihat kelima-lima aspek perkembangan murid yang dikaji termasuklah kemahiran komunikasi, kemahiran motor, sosial, emosi, kognitif dan pengurusan diri.

          
LAPORAN KAJIAN
       Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, kanak-kanak yang dikenali sebagai subjek dalam kajian ini merupakan kanak-kanak berkeperluan khas jenis autisme. Subjek dipilih dalam kajian kes ini kerana kanak-kanak autism adalah kanak-kanak yang sangat unik dan menarik untuk dikenali dengan lebih terperinci. Berdasarkan pengalaman selama membuat kajian dan pemerhatian terhadap kanak-kanak autism ini, mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri jika orang sekeliling mereka khususnya yang terdekat seperti guru dan ibu bapa berjaya mendorong mereka melakukan sesuatu yang lebih baik.
      Berdasarkan temu bual bersama guru prasekolah pendidikan khas di situ, beliau menyatakan bahawa jika dilihat secara seimbas lalu subjek kelihatan seperti kanak-kanak normal yang lain. Kanak-kanak autism lazimnya dikaitkan dengan tingkah laku yang hiperaktif dengan keadaan yang sering berlari ke sana ke mari tanpa sebarang tujuan. Namun, subjek yang saya kaji ini tidak menunjukkan sikap yang hiperaktif tetapi tidak juga menunjukkan sikap yang pasif seperti memencilkan diri daripada rakan-rakan.


FAKTOR PENYEBAB KECACATAN
            Umumnya masalah autisme ini disebabkan oleh faktor genetik dan juga persekitaran. Walau bagaimanapun, punca sebenar masalah autisme ini belum lagi ditemui dengan pasti.s Individu autisme mempunyai kecelaruan yang berbagai-bagai. Autisme juga sering dikaitkan dengan kecelaruan genetik dan masalah yang berkaitan dengan perubatan seperti fergile X syndrome, tuberous sclerosis dan phenylketonuria (PKU). Masalah komplikasi sebelum dan selepas kelahiran juga boleh menyebabkan autisme terhadap bayi yang dilahirkan. Antaranya adalah seperti jangkitan rubella semasa dalam kandungan ibu, encephalitis, kekurangan oksigen semasa lahir ataupun keracunan makanan.
            Faktor persekitaran pula, terdapat sesetengah keluarga yang mempunyai anak autisme yang mengalami immune dysfunction. Immune dysfunction ini berkait rapat dengan faktor persekitaran khususnya dari aspek pemakanan seperti mempunyai alahan terhadap makanan. Kanak-kanak autism lazimnya mempunyai sistem pencernaan ynag kurang baik. Makanan seperti susu dan gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan menyebabkan makanan tersebut bertukar kepada asid amino ataupun pepton yang sepatutnya dibuang melalui perkumuhan air kencing. Tetapi bagi kanak-kanak autisme ini, pepton ini tersebut diserap kembali oleh tubuh dan memasuki aliran darah terus ke otak. Hal ini seterusnya akan merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu.  
            Tahap autisme kanak-kanak ini masih belum mencapai tahap yang teruk. Hal ini disebabkan ciri-ciri autisme yang dimiliki beliau dapat dikenal pasti lebih awal dan beliau telah menerima rawatan awal sebelum dimasukkan ke sekolah pendidikan khas.


Berdasarkan senarai semak yang saya sediakan, saya telah membuat pemerhatian ke atas subjek mengikut aspek-aspek tertentu iaitu fizikal, komunikasi, kognitif, emosi dan sosial.

Fizikal
          Dari aspek fizikal, subjek mempunyai ciri-ciri fizikal yang kemas dan tidak comot. Subjek menunjukkan ciri-ciri kebersihan yang sesuai dengan tahap umurnya. Walau bagaimanapun, sukar untuk membezakan kanak-kanak autism dengan kanak-kanak normal hanya berdasarkan ciri-ciri fizikal sahaja. Biasanya, kebanyakan kanak-kanak autisme sangat sensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan, rasa dan ciuman.
Bagi deria sentuhan, mereka tidak suka disentuh. Namun berbeza dengan kanak-kanak yang saya kaji ini. beliau tidak menunjukkan tindak balas yang negatif apabila orang lain menyentuhnya. Hal ini dapat saya lihat melalui pengajaran yang guru jalankan. Dalam pengajaran tersebut yang memerlukan tunjuk cara, beliau perlu bimbingan yang lebih dengan cara guru memegang tangan beliau dan menggerakkan sepertimana yang ditunjukkan dalam tunjuk cara. Dalam tunjuk cara tersebut, beliau tidak menunjukkan reaksi yang tidak menyenangkan semasa disentuh malah beliau berasa gembira dapat melakukan pergerakan seperti yang guru tunjukkan. Di samping itu, beliau juga ada membuat kontek mata dengan guru tetapi tidak lama dalam masa kira-kira satu saat. Daripada biodata beliau yang saya lihat dalam fail sekolah juga menunjukkan bahawa beliau tidak suka bunyi-bunyian yang pelik.

Komunikasi
       Kanak-kanak autisme sering dikaitkan dengan masalah komunisi dan bahasa. Mereka juga didapati lemah dalam pertuturan. Antara masalah komunikasi yang dialami oleh kanak-kanak autisme ialah lambat memulakan pertuturan, tiada babbling, gerak laku, syarat dan percakapan, tidak menggunakan isyarat dalam perbualan semula jadi dan sering kali bercakap mengenai sesuatu yang tidak difahami oleh orang lain. Selain itu, masalah yang sangat ketara dalam pertuturan kanak-kanak autisme ialah echolalia. Echolalia ini merupakan satu bentuk pengulangan pada sesuatu ayat yang dicakapkan oleh individu lain. Fay (1969) turut menyatakan bahawa kanak-kanak autisme akan mengulangi semula percakapan yang didengar.
Namun, berdasarkan pemerhatian saya terhadap subjek yang saya kaji, saya melihat subjek mempunyai kebolehan mendengar dan melihat serta bertutur yang baik. Subjek boleh mendengar arahan dengan mudah dan secara tidak langsung mengikut arahan yang diberi. Di samping itu, saya katakan beliau dapat bertutur dengan baik setelah melihat beliau dapat mengenal pasti warna-warna asas yang ditunjukkan oleh guru dan menyebut nama-nama warna tersebut dengan jelas iaitu kuning, merah dan biru.

Kognitif
     Dari aspek kognitif, subjek dilihat mempunyai kefahaman tentang pengajaran guru walaupun agak lambat. Beliau boleh menerima arahan yang diberikan oleh guru tetapi memerlukan bimbingan dan peneguhan positif. Selain itu, beliau juga dapat memberikan tumpuan terhadap pengajaran guru tetapi tumpuan beliau akan hilang jika beliau berasa tidak mendapat tumpuan daripada guru. Oleh itu, dalam situasi ini, beliau memerlukan lebih perhatian daripada guru. Semasa guru memberikan perhatian terhadap murid lain, beliau dilihat akan mula berdiam dan membuat hal sendiri namun peka terhadap bunyi di persekitarannya. Misalnya, semasa mendengar rakan-rakan bersorak, beliau turut ikut bersorak. Dalam pengajaran yang telah dilaksanakan oleh rakan sekelas mengenai warna-warna asas, saya dapat lihat beliau mampu mengenal pasti warna asas yang ditunjukkan oleh guru.

Emosi
        Dari aspek emosi pula, subjek tidak menunjukkan pelbagai emosi yang berubah-ubah dan sukar diramal. Kebanyakan kanak-kanak autisme mengalami masalah emosi yang tidak seimbang di mana mereka kadang kala ketawa, menangis atau marah seorang diri tanpa sebab yang munasabah. Sepanjang pemerhatian saya, subjek hanya menunjukkan emosi gembira dan sentiasa senyum walaupun ada kalanya beliau senyum berseorangan. Beliau sangat berbeza berbanding dengan rakan-rakan beliau yang lain yang juga merupakan kanak-kanak autisme. Rakan-rakan beliau menunjukkan sikap yang agresif sehinggakan melakukan tingkah laku yang negatif iaitu memukul rakan yang lain. Tidak seperti rakan beliau yang lain, beliau menunjukkan sikap yang tenang dan pasif. Di samping itu, beliau juga suka dengan peneguhan positif yang diberikan oleh guru seperti tepukan tangan apabila melakukan sesuatu yang betul. Beliau akan menunjukkan reaksi gembira apabila diberikan tepukan.

Sosial
    Dalam aspek sosial, kanak-kanak autism pada tahap yang teruk biasanya tidak mempedulikan langsung benda-benda yang berada di sekeliling termasuklah orang-orang yang berada di samping mereka. Autism pada tahap sederhana pula lazimnya menunjukkan tingkah laku yang baik dan tenang tetapi agak pasif. Situasi ini dapat dilihat pada subjek yang saya kaji. Beliau sentiasa menunjukkan sikap tenang namun sedikit pasif apabila orang kurang memberikan tumpuan terhadap beliau. Dalam aspek sosial ini juga, beliau banyak menunjukkan sikap-sikap yang positif.
            Dalam aktiviti pengajaran di mana murid-murid perlu meniup belon secara bergilir, beliau dapat menunggu giliran sehingga disuruh untuk meniup belon oleh guru. Namun, beliau tidak cuba untuk menonjolkan diri bagi menarik perhatian orang di sekelilingnya. Selain itu, beliau juga tidak dilihat sebagai seorang kanak-kanak yang agresif dan bergaduh dengan kanak-kanak lain. Sebaliknya, beliau boleh berkawan dan menerima orang baru tetapi beliau agak pemalu. Hal ini saya perhatikan apabila saya dan rakan-rakan cuba untuk berkomunikasi dengan beliau dan beliau tidak menunjukkan reaksi yang negatif terhadap kami. Di samping itu, beliau juga pandai membantu rakannya yang lain. Situasi saya lihat apabila beliau membantu mengelapkan muka rakannya yang juga merupakan salah seorang kanak-kanak autisme.

Aspek pembelajaran
         Semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, saya melihat kanak-kanak autisme yang dikaji ini boleh menerima arahan guru dengan mudah. Beliau mampu mengikuti pengajaran guru. Walau bagaimanapun, beliau masih memerlukan bimbingan dan tunjuk cara semasa melakukan aktiviti dalam pembelajaran. Kanak-kanak autisme sering dikatakan tidak suka bermain dan bekerjasama dengan rakan-rakan sebayanya. Namun, kanak-kanak autisme yang saya kaji ini, masih dapat berinteraksi dengan rakan-rakan semasa proses pembelajaran berlaku.
       Kanak-kanak ini juga akan mula kurang perhatian terhadap pengajaran apabila guru kurang memberikan perhatian kepadanya seperti menyebut nama beliau. Berdasarkan ulasan guru terhadap pembelajaran beliau yang saya lihat pada fail peribadi kanak-kanak ini, kanak-kanak ini boleh melakukan aktiviti yang guru arahkan namun, beliau memerlukan bimbingan dan perhatian daripada guru.
           Beliau juga mempunyai tahap pengetahuan sedia ada yang lebih baik berbanding rakan beliau yang lain. Hal ini dapat dilihat dalam aktiviti mencantumkan gambar anggota badan. Beliau dapat mencantumkan semua gambar tersebut dengan betul. Hal ini menunjukkan bahawa beliau sudah mengenali jenis-jenis anggotan badan.
      Jika pengajaran melibatkan aktiviti pergerakan seperti menyanyi sambil melakukan pergerakan, kanak-kanak ini tidak dapat melakukannya secara sendiri. Seorang guru perlu memegang kanak-kanak untuk membimbing beliau melakukan pergerakan tersebut. Jika tidak diberikan bimbingan, beliau hanya berdiri diam dan melihat rakan-rakan beliau melakukan pergerakan tersebut. Di samping itu, beliau seorang disiplin dan boleh menunggu giliran semasa belajar. Beliau tidak menunjukkan reaksi yang agresif atau melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu pengajaran. Beliau juga patuh dan memahami arahan yang guru berikan.


STRATEGI, KAEDAH, TEKNIK YANG DIGUNAKAN

            Seperti kanak-kanak normal, kanak-kanak berkeperluan khas juga mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Menurut Barber dan Holdbart (1998), strategi penilaian yang berbeza diperlukan dalam mengajar kanak-kanak berkeperluan khas dalam menentukan keberkesanan pengajaran. Sebagai seorang guru yang peka terhadap keperluan murid, guru perlu meneliti pendekatan pengajaran yang sesuai bagi merancang pengajaran.
            Antara strategi ataupun kaedah yang boleh digunakan bagi membantu kanak-kanak autisme ini adalah seperti:


1) Melaksanakan pengajaran menggunakan auditori atau visual
Gaya pengajaran auditori ini merupakan cara pengajaran yang menekankan pendengaran perkataan dan arahan lisan. Murid perlu mengingati penerangan melalui bacaan kuat atau menggerakkan bibir ketika mempelajari sesuatu. Di samping itu, melalui pengajaran gaya autori ini, murid akan mengukuhkan ingatan mereka dengan mendengar semula rakaman pita audio. Selain kaedah auditori, kaedah visual denan menggunakan foto-foto, gambar rajah, lambang atau isyarat boleh membantu kanak-kanak ini meluahkan perasaan mereka. Dengan mengenal pasti perasaan mereka, emosi dan perasaan mereka tidak akan mempengaruhi tingkah laku mereka cenderung ke arah negatif seperti memukul dan mencederakan diri atau orang lain.


2) Kaedah pemudahcaraan
Kaedah ini lebih menitikberatkan peranan murid dalam pembelajaran di mana guru hanya berperanan sebagai fasilitator yang berfungsi untuk mendidik, membimbing, memujuk,mengukuh, memberikan bantuan dan menolong kanak-kanak mencapai matlamat pembelajaran yang dirancangkan. Dengan kaedah pemudahcaraan ini juga, guru dapat menggalak murid supaya aktif dalam proses pembelajaran deng memberi arahan dan panduan yang jelas. Saya melihat murid yang saya kaji iaitu Jhudiel boleh memahami arahan yang mudah untuk aktiviti yang mudah. Oleh itu, guru boleh memberikan aktiviti yang lebih mencabar kepada kanak-kanak ini dan bertindak sebagai pemudahcara sehingga beliau dapat melaksanakan aktiviti tersebut dengan sendiri.


3) Kaedah tunjuk cara
Tunjuk cara ialah satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuati aktiviti mengikut prosedur. Ia melibatkan demonstrasi guru atau seorang individu di hadapan kelas untuk menunjukkan sesuatu aktiviti atau prosedur. Semasa memerhatikan kanak-kanak yang saya kaji ini, walaupun beliau mudah faham apa yang diajar dan ditunjukkan, tunjuk cara yang diberikan guru juga amat penting. Misalnya, dalam aktiviti pengajaran meniup warna pada kertas lukisan yang dijalankan oleh rakan saya. Tunjuk cara ini juga memberikan peluang kepada Jhudiel untuk benar-benar memahami pelajaran yang guru sampaikan. Di samping itu, kaedah in juga dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk menjalankan sesuatu aktiviti.


4) Kaedah peneguhan positif
Untuk kanak-kanak autisme seperti Jhudiel ini, kaedah peneguhan positif ini adalah amat sesuai. Peneguhan negatif seperti pengasingan , time-out, shaping dan sebagainya adalah kurang sesuai memandangkan beliau tidak menunjukkan tingkah laku yang negatif dan agresif. Pemberian peneguhan positif kepada kanak-kanak ini membuatkan mereka seronok menjalani pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Kaedah ini mampu mewujudkan tingkah laku yang positif. Antara peneguhan positif yang digunakan oleh rakan-rakan saya ialah memberi pujian dan tepukan apabila Jhudiel melakukan sesuatu aktiviti dengan betul. Kaedah ini juga membantu perkembangan emosi kanak-kanak autisme ini di mana mereka akan berasa seronok semasa belajar.


5) Main sambil belajar
Teknik ini merupakan aktiviti yang dijalankan secara spontan dan menyeronokkan yang membawa kepada pembelajaran. Main adalah ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangannya palingjelas pada peringkat kanak-kanak. Kanak-kanak akan mencari pengetahuan dengan kaedah permainan. Jhudiel adalah seorang kanak-kanak autism yang tidak agresif dan agak pasif apabila guru kurang memberi perhatian kepada beliau. Oleh itu dengan aktiviti main sambil belajar ini mampu membawa beliau menyertai pengajaran yang dilaksanakan oleh guru. Selain menjadikan pengajaran dan pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang seronok, ia juga mampu merangsang motivasi belajar kesan daripada keseronokan bermain. Antara jenis permainan dalam pengajaran ialah permainan manipulatif, fizikal dan permainan bahasa.


6) Kaedah simulasi
Kaedah ini merupakan gambaran abstrack sesuatu situasi sebenar yang memerlukan murid berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kaedah ini juga merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah-masalah atau menyediakan situasi-situasi yang benar-benar wujud di dalam keadaan yang terkawal.


7) Strategi pengajaran mediatif
Strategi pengajaran mediatif ini boleh digunakan dengan berbantukan komputer semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan simbol-simbol grafik yang menarik dapat membantu kanak-kanak autisme mengingat dan menyokong pemahaman mereka terhadap pengajaran. Di samping berbantukan komputer, kanak-kanak autisme ini juga boleh menggunakan rakaman suara dan mengulangi rakaman yang telah didengari. Kaedah ini sesuai dengan kanak-kanak autisme yang saya kaji dimana beliau mempunyai sedikit masalah dalam pertuturan. Dengan rakaman suara ini beliau boleh mengulangi rakaman tersebut sambil menyebut sesuatu perkataan, frasa atau ayat secara berulang-ulang sehingga mereka memperoleh kefahaman.


8) Kaedah koperatif
Kaedah ini menekankan pelaksanaan aktiviti berkumpulan. Dengan kaedah ini, guru dapat memberikan peluang dan laluan serta galakan kepada kanak-kanak autisme ini berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran bertutur di samping menambahkan perbendaharaan kata. Jhudiel merupakan kanak-kanak autisme yang kurang bertutur dengan rakan sebaya dan bukan seorang kanak-kanak yang aktif. Oleh itu, dengan kaedah pembelajaran koperatif, ini boleh membantu beliau untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan beliau yang lain.


9) Gabungjalin pelajaran dengan muzik
Kaedah ini dikatakan mampu membantu kanak-kanak autisme supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi dengan menggabungkan pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian. Kanak-kanak autisme mempunyai bakat mereka yang tersendiri. Bagi kanak-kanak yang saya kaji, keyakinan diri beliau perlu digalakkan lagi dan dibimbing oleh guru agar beliau rasa ragu-ragu beliau dalam melakukan aktiviti dapat dikurangkan.


10) Kaedah Multi Sensori
Kaedah ini digunakan untuk merangsang minda kanak-kanak autisme melalui lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Kaedah ini membantu merangsang pemikiran kanak-kanak autisme. Apabila mereka memegang, merasa, menghidup, mendengar dan melihat, ini akan memberi tindak balas bagi semua deria ini.

     Kesimpulannya, kanak-kanak autisme ini tidak ada perbezaan dengan kanak-kanak normal yang lain. Namun, apabila membuat pemerhatian, kanak-kanak ini menampakkan kelainan dari segi sikap, pemikiran, tingkahlaku dan pertuturan. Walaupun kanak-kanak autisme ini kurang upaya dalam banyak perkara, namun mereka masih mempunyai kelebihan dan keupayaan dari aspek yang lain. Teknik pengajaran yang betul dan sesuai dengan kanak-kanak autisme ini akan membolehkan mereka memperoleh ilmu pengetahuan tanpa halangan dengan sempurna.

RUJUKAN
Abdul Majib Mohd Isa (1997). Psikologi Pendidikan 1. Selangor : Longman Malaysia
Sdn.Bhd.
Akhiar Pardi,. & Shamsina Shamsudin. (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Kuala Lumpur : Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Halizah Hamzah,. & Joy N. Samuel. Perkembangan Kanak-kanak. Kumpulan Budiman     
           Sdn. Bhd.

Hasab Mohd Ahli (1996). Mendidik Anak Pintar Cerdas. Kuala Lumpur : Utusan 
          Publications& Distributors Sdn. Bhd.

Kamarudin Husin. (2010). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur : Unipress Publications 
         & Distributors Sdn. Bhd.

Siti Salwa Tumiran (2002). Pintar Cerdas Melalui Bermain. Kuala Lumpur : Synergy Media


Leave Your Link :) Jom Blogwalking!